Pelajar Politeknik KPT bagi program Diploma akan dipertimbangkan permohonan mereka untuk pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Pelajar peringkat Diploma semester pertama juga boleh memohon biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan kelayakan dan kecemerlangan dalam keputusan SPM.
Selain daripada itu, para pelajar juga boleh memohon pinjaman atau biasiswa pendidikan dari pelbagai pihak lain seperti badan-badan berkanun meliputi agensi kerajaan persekutuan (contoh JHEOA, Biasiswa Sukan KPT) dan kerajaan negeri (contoh Yayasan Selangor, Yayasan Pahang, Yayasan Johor, Lembaga Biasiswa Negeri Kedah) dan syarikat-syarikat swasta (contoh KUOK Foundation dan Golden Hope Plantation).
Seseorang pelajar hanya dibenarkan menerima satu biasiswa/pinjaman sahaja. Pembayaran biasiswa/pinjaman adalah dibuat melalui akaun bank pelajar.
Elaun Khas juga disediakan untuk Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) di Politeknik KPT. Bantuan ini merupakan keistimewaan khas yang diberikan kepada pelajar OKU dengan tidak mengambil kira taraf pendapatan sebagai syarat kelayakan. Hanya pelajar OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja yang diiktiraf sebagai layak menerima bantuan ini. Kadar bayaran elaun khas pelajar OKU adalah sebanyak RM 300.00 sebulan dan dikreditkan secara terus ke akaun pelajar.